Majlis Pelancaran Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Kepujian)


SIARAN MEDIA

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PENGURUSAN INDUSTRI KREATIF (KEPUJIAN)
&  SAMBUTAN AIDILFITRI BERSAMA PENGGIAT INDUSTRI KREATIF NEGARA

Lihat Keratan Akhbar : Sinar Harian | Berita Harian | Harian Metro

 

KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) berusaha untuk melahirkan ahli seni dan penggiat kreatif yang berilmu melalui pelancaran program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Kepujian) atau BCIM untuk pengambilan pertama bermula September 2013.

Pelancaran Program BCIM ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan II, YB Dato’ Seri Idris Jusoh pada 20 Ogos 2013 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Naib Canselor UUM, Prof Dato’ Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata BCIM merupakan program multi-disiplin yang menggabungkan komponen-komponen utama iaitu pengurusan, kreativiti, bisnes dan teknologi.

Program ini katanya, amat unik kerana belum ada program seumpamanya di Malaysia yang memfokuskan pembelajaran secara formal untuk pengurus yang terlibat secara langsung dalam industri kreatif.

Bidang ini amat memerlukan pasukan pengurusan yang hebat untuk memastikan sesuatu produk kreatif itu berjaya dan diterima khalayak. Justeru, mahasiswa akan didedahkan dengan kemahiran kepengurusan sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan yang memerlukan seorang pengurus yang profesional dan berkesan.

Selaras dengan visi UUM untuk menjadi sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka, tambahnya lagi, maka kemahiran kepengurusan amat dititikberatkan. Kemahiran kepengurusan diperlukan bagi mengurus dan menggembleng segala aspek berkaitan, baik dari segi sumber manusia dan bakat (talent), teknologi, kandungan industri kreatif tempatan, kewangan, serta kemahiran pengurusan itu sendiri, termasuklah perancangan, pengelolaan, pengrekrutan, pengarahan, pengawalan, dan kepimpinan.

Mengulas lanjut mengenai program ini, Mustafa menambah, bidang ilmu (niche area) yang menjadi tonggak kepada program ini meliputi produksi filem, muzik, animasi, dan media interaktif. Keperluan kepada tenaga mahir dalam keempat-empat cabang ilmu ini amat kritikal di Malaysia. Bidang industri kreatif ini amat kaya dan luas; tidak terbatas kepada pasaran tempatan sahaja, malah amat berpotensi untuk dikembangkan hingga ke peringkat antarabangsa kerana Malaysia kaya dengan bakat-bakat yang masih belum dicungkil. Beliau yakin industri kreatif berupaya menjana pendapatan yang amat lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Prof Dr Norshuhada Shiratuddin berkata, BCIM dibangunkan bagi melahirkan modal insan yang berkemahiran dan efisyen dalam menguruskan industri kreatif.
Pengetahuan dan kemahiran pengurusan yang diadun dengan kreativiti dan alatan teknologi dalam industri dapat memastikan industri ini terus berkembang, relevan dan mapan.
Katanya lagi, bakal graduan BCIM diharapkan dapat memahami industri ini dengan baik, dan tuntas dengan ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian di UUM. Justeru, dengan adanya program ini, bakal graduan yang dihasilkan kelak dapat menjadi penggiat industri yang berkualiti, seterusnya melonjakkan industri kreatif ke peringkat tertinggi.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Y.Bhg. Tan Sri Samsudin Osman, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UUM, pegawai-pegawai kanan UUM, penggiat seni tanahair, serta media cetak dan elektronik.
Dalam majlis sama, UUM turut menyampaikan surat lantikan kepada 20 rakan strategik yang terdiri daripada penggiat utama industri kreatif negara  termasuklah FINAS, RTM, Persatuan SENIMAN, Media Prima Berhad, Les’ Copaque Production Sdn. Bhd, Pesona Pictures Sdn. Bhd., Excellent Pictures, Animonsta Studios, Yuna Room Records, MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd, Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd., dan Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad.
Selain itu, UUM turut melantik Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd, Vision Animation, Animasia Studio, J21 Entertainment Sdn. Bhd, Rumpun Records Sdn Bhd, Johan Music (M) Sdn Bhd, Hijjaz Records Sdn Bhd, Contentpreneur.com, dan Khalifa Production Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik.

 

Siaran Media ini dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Canselori
Universiti Utara Malaysia

Bertarikh 18 Ogos 2013 (Ahad), jam 5.00 petang
UUM Sintok Kedah.

===============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
JABATAN CANSELORI
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

H/P             : 012-5671520
TEL.           : 04-928 3007/3013/3012
FAKS         : 04-928 3016
E-MEL       : ukkuum@uum.edu.my

UUM  MSCMalaysia-link myGov-linkmampu-linkmyideas-linkmyline-linkkrste-linktourismMsia-link
footer latest