21 MEI 2024-SUNGAI PETANI- Pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) mengharumkan nama Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan menerima anugerah Emas dalam pameran International Industrial Revolution 4.0 Exposition (IREx) 2024 yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Kedah pada 21 Mei 2024 yang lalu.
Pencapaian ini adalah pengiktiran kepada sekumpulan pelajar tahun akhir yang diketuai oleh Yew Wei Xiang yang juga Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (BCIM) selepas menghasilkan satu inovasi produk aplikasi mudah-alih bertajuk “Virtual Traditional Malaysia Costume via Augmented Reality”.
Menurutnya, aplikasi ini adalah unik kerana memberi pendedahan kepada pengguna terutamanya para pelancong untuk memahami tentang pakaian tradisional mengikut setiap negeri di Malaysia dengan paparan tiga dimensi (3D) beserta motif corak yang menarik dan terperinci.
“Golongan muda seperti saya juga dapat mempelajari pelbagai perbezaan unik setiap pakaian mengikut negeri di seluruh Malaysia” tambah beliau lagi.
Sementara itu, penyelia projek beliau, Profesor Madya Dr. Syamsul Bahrin Zaibon dari SCIMPA turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Wei Xiang yang telah berjaya menyiapkan projek tahun akhir beliau lebih awal sebelum semester berakhir.
“Anugerah ini suatu pencapaian yang membanggakan dan dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan beliau yang lain”,” katanya.
Kumpulan projek ini disertai juga oleh Woh Yin Yi dan Ang Shin Yee, kedua-duanya adalah pelajar BCIM dari pusat pengajian SCIMPA. IREx 2024 dianjurkan bertujuan untuk mempamerkan pelbagai teknologi baharu yang berkisar dalam teknologi revolusi 4.0 yang menjadi platform yang sangat baik untuk para saintis dan inovator sama-sama bertemu untuk mempamerkan idea yang memberi inspirasi dan inovasi yang terbaik.