3 Januari 2024: Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) UUM dibawah Institute of Creative Industry Management and Sustainable Culture (ICIMSC) diamanahkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk menjayakan Program Pentauliahan Profesional Bidang Produksi. Peserta program seramai 15 orang yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan pensyarah Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh Malaysia telah dipilih untuk menyertai program ini.
Mereka semua dipilih melalui proses saringan yang dijalankan oleh JPPKK. Program ini berlangsung selama 3 bulan bermula 1 Oktober 2023 dan berakhir pada 3 Januari 2024. Program yang berlangsung sepenuhnya di Universiti Utara Malaysia (UUM) ini merangkumi tiga peringkat bidang produksi iaitu Pre-Produksi, Produksi dan Post Produksi. Para peserta mempelajari sebanyak 17 modul antaranya adalah Pembangunan Idea dan konsep dalam penulisan skrip, Teknik Penghasilan Proposal, Storyboard, Video look and feel, Penulisan Skrip, Pengarahan, Pengurus Produksi, Pembantu Pengarah, Pengarah Seni, Asas Lakonan, Pencahayaan, Jurusolek, Rakaman Bunyi, Kostum, Sinematografi, Suntingan, Adobe Premiere Pro dan juga Projek Akhir. Peserta wajib lulus kesemua modul sebelum ditauliahkan oleh UUM, FDAM, PROFIMA dan Adobe dalam bentuk Sijil Profesional, Sijil Eksekutif dan Sijil Pengiktirafan Adobe Premiere Pro.
Kesemua modul menekankan 70 peratus amali dan praktikal agar peserta merasai realiti industri sebenar proses penerbitan karya kreatif di Malaysia. Ia selaras dengan objektif program ini iaitu ingin melahirkan pensyarah yang memahami, mempraktik, mengimplementasi ilmu penerbitan filem agar apabila pulang ke Politeknik dan Kolej Komuniti nanti dapat membantu dalam proses Pembelajaran dan Pengajaran (PNP).
Bagi meraikan peserta-peserta yang telah berjaya menamatkan program ini dengan jayanya, pada hari ini 3 Januari 2024, Majlis Penutup Program Pentaulihan Profesional Bidang Produksi telah diadakan di Hotel EDC and Resorts UUM. Dalam majlis ini, Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) iaitu Dato' Hj Afdlin Shauki bin Aksan, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) iaitu En. Khalil Haji Salleh dan juga Dekan SCIMPA Prof Madya Dr Adzrool Idzwan Ismail telah menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta. Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah-pengarah Politeknik dan juga Kolej Komuniti yang berkaitan. Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang telah berjaya.
Oleh:
Prof. Madya Dr. Ruzinoor Che Mat
Pengetua Program Pentauliahan Profesional Bidang Produksi