Terap Kesedaran Amalan Regulasi Kendiri Kandungan Media Sosial

MEJ.jpg

 

SINTOK – Bersempena minggu Festival Apresiasi Seni (FEAS’24), Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) di bawah Universiti Utara Malaysia (UUM), telah mengambil inisiatif utama membuka mata masyarakat khususnya dalam kalangan generasi baharu agar lebih bertanggungjawab ketika menghasil dan mengguna kandungan di media sosial.

Usaha ini bertujuan agar pengguna dapat membudayakan kepenggunaan yang betul seiring dengan tatasusila dan etika pembangunan modal insan demi mencapai hasrat negara mewujudkan masyarakat MADANI.

Ahli Majlis Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Ts. Dr. Syed Agil Alsagoff berkata, setakat tahun 2023 Malaysia menduduki tempat kedua di dunia sebagai negara paling ‘ketagih’ media sosial selepas UAE yang berada pada kedudukan teratas.  Purata pengguna internet di Malaysia berusia antara 16 hingga 64 tahun, menghabiskan masa selama dua jam 47 minit menggunakan media sosial setiap hari, lebih tinggi berbanding purata global iaitu dua jam 31 minit.

Katanya, sekiranya masyarakat tidak mempunyai pengetahuan regulasi kendiri ketika menghasil, mengakses, dan berkongsi kandungan media sosial, ia akan membawa risiko besar terhadap keruntuhan moral dan ancaman kesejahteraan masyarakat negara ini.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail pula berkata, program ini telah memberi pendedahan kepada generasi muda tentang panduan yang digariskan di dalam Kod Kandungan yang telah dikeluarkan oleh CMCF.  “Ia mengukuhkan kefahaman belia tentang Rang Undang-undang Anti Berita Tidak Benar.  Dalam masa yang sama, ia mendedahkan pengguna media sosial berkenaan saluran yang boleh digunakan untuk membuat aduan kepada CMCF,’ katanya.

 

CONTENT_FORUM.jpg                CONTENT.jpg

 

Penasihat projek, Mej. Ts. Nor Hissam Sulaiman pula berpendapat program ini diadakan tepat pada masanya. ‘Setiap individu perlu bijak mengamalkan regulasi kandungan kendiri melalui kefahaman dan kematangan dalam menghasil dan mengakses sebarang bentuk kandungan di media sosial.  Kebanjiran informasi, aplikasi dan kepelbagaian gajet boleh menjadi senjata berbahaya apabila kepenggunaannya tidak diiringan dengan ilmu dan tanggungjawab,’ ujarnya.

Terdahulu, program bual bicara bertajuk “Forum Santai Wahana Apresiasi dan Kritikan Kandungan Cereka dan Media Sosial: Amalan Regulasi Kendiri di Malaysia’ yang bertempat di Dewan Seminar Kencana SCIMPA, UUM mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dalam kalangan kakitangan dan pelajar pelbagai pusat pengajian.  Program ini turut dihadiri oleh Encik Ahmad Fazlin Abu Kassim, (Pengurus CMCF), dan Dr. Mohd. Fitri Yusoff (Pengarah Inasis Bank Rakyat).