Dr. Mohd Fitri Yusof Terima Pentauliahan Pengajar SKM dalam Majlis Pentauliahan UUM
SINTOK, 17 Februari 2025 – Majlis Penyerahan Sijil Pentauliahan Pusat Pengajian dan Pentauliahan Pengajar Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 2025 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, pagi tadi.
Majlis dimulakan dengan penyampaian cek cura berjumlah RM640,000 kepada Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor. Untuk rekod, IBS telah menerima dana latihan berjumlah RM640,000 bermula dari Oktober 2022 sehingga Mei 2025 yang melibatkan empat kohort.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan turut menyampaikan Sijil Pentauliahan Pusat Pengajian bagi penawaran program SKM baharu kepada Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor, diikuti dengan Dekan TISSA UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad dan Dekan SCIMPA, Prof. Madya Ts Dr. Adzrool Idzwan Ismail.
Dalam majlis ini, Dr. Mohd Fitri Yusof dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) menjadi salah seorang pensyarah UUM yang menerima pentauliahan sebagai Pengajar SKM melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Beliau merupakan antara pensyarah yang diiktiraf bersama-sama dengan Pensyarah TISSA UUM, iaitu Prof. Madya Dr. Hazeline Ayoup, Prof. Madya Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad, Prof. Madya Dr. Natrah Saad, dan Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz.
Penawaran baharu dalam program SKM turut diumumkan dalam majlis ini, termasuk Program Produksi Audio Tahap 2 dari SCIMPA, serta beberapa program lain dari IBS dan TISSA. Program ini diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, melalui Pusat Bertauliah SLDN UUM (PB SLDN UUM).
PB SLDN UUM telah memulakan operasinya pada tahun 2021 di IBS, yang diterajui oleh Dr. Muhamad Fikri Aziz sebagai Pengurus PB SLDN UUM, sebelum diletakkan di bawah Pejabat Penolong Naib Canselor UUM COB pada tahun 2024.
Menurut beliau, terdapat beberapa program lagi yang berpotensi untuk ditawarkan pada masa akan datang yang boleh melibatkan semua staf di UUM serta komuniti setempat. Dengan penawaran Program SKM ini, pihak industri dijangka akan menerima lebih ramai tenaga mahir yang kompeten.